15/03/2022
ISU TANAH AINA: SERAH KEPADA MAHKAMAH MENGADILINYA
Pada 12 Jun 2021, saya dan Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mendesak kerajaan negeri Pahang supaya segera menyiasat tentang sebuah resort tepi sungai yang dibuka di Raub.
Saya membangkitkan perkara itu pada waktu itu kerana terdapat keraguan bagi pihak saya dan PSAP tentang operasi resort berkenaan terutama apabila ia dibuka berdekatan dengan sungai di Raub.
Adakah wujud pelanggaran syarat-syarat tanah, pencerobohan tanah milik kerajaan atau lain-lain kesalahan termasuk membabitkan alam sekitar?
Atas faktor itu, pada waktu itu saya dan PSAP berpandangan ia perlu disiasat oleh pihak berwajib termasuk kerajaan negeri Pahang kerana tidak adil individu berkenaan boleh membuka resort itu jika ada kesalahan dilakukan.
Jika wujud kesalahan, tidak kiralah siapa pun individu berkenaan, dia perlu disiasat dan diambil tindakan berdasarkan kepada undang-undang sedia ada.
Hari ini, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
Shariffa Sabrina yang juga Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong pada pukul 2 petang 11 Jun 2021.
Pertuduhan kedua p**a tertuduh, dia didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu D**g iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub, Pahang pada pukul 2 petang 10 Jun 2021.
Bagi pertuduhan ketiga, Shariffa Sabrina didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Raub, Pahang.
Bagi ketiga-tiga kesalahan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.
Jika bersalah, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun bagi setiap pertuduhan.
Ekoran pertuduhan itu, ia mengesahkan apa yang dipersoalkan oleh saya dan PSAP pada 12 Jun 2021 bukanlah suatu tuduhan liar semata-mata.
Biarlah kes itu kini diadili oleh pihak mahkamah. Saya dan PSAP tiada niat buruk ataupun jahat sebaliknya hanya membangkitkan persoalan dan aduan yang diterima oleh PSAP.
Kapten(K) Haslihelmy DM
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang