12/02/2018
KENYATAAN MEDIA GEMA TERENGGANU
===================================
ANTARA KELAHIRAN SELESA DENGAN KELAHIRAN SELAMAT
===================================
Beberapa hari yang lepas, kita telah dikejutkan dengan kematian bayi baru lahir oleh ketidakmahiran peneman kelahiran yang tidak berdaftar dan tidak terlatih.
Keadaan ini bertambah serius apabila peneman tersebut gagal mengenalpasti dan bertindak ketika situasi kecemasan, serta telah mengorbankan nyawa yang tidak berdosa.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama satu nyawa terkorban akibat kegagalan mengenalpasti serta bertindak di situasi kecemasan, akan tetapi pernah surau ketika dahulu nyawa si ibu telahpun melayang. Kelihatan sepertinya peneman kelahiran tidak berdaftar dan tidak terlatih ini tidak mengambil pelajaran malahan, semakin lama semakin aktif menyampaikan dakyah anti-perubatan moden yang berlandaskan pada emosi, tanpa berpegang pada fakta yang sahih. Walaupun perubatan moden ini terbukti selamat dan sentiasa dinaiktaraf dari masa ke masa.
Tindakan ini amatlah bercanggah dengan konsep maqasid syariah yang sedia diketahui umum, iaitu pemeliharaan nyawa itu adalah amatlah penting berbanding keselesaan, yang mana langsung bukan merupakan sebahagian dari Maqasid Syariah, iaitu;
1. Pemeliharaan Agama
2. Pemeliharaan Nyawa
3. Pemeliharaan Aqal
4. Pemeliharaan Keturunan
5. Pemeliharaan Harta
Justeru, kami mengajak semua untuk tidak terpedaya dengan dakyah anti-perubatan moden serta mendapatkan nasihat serta berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi melancarkan proses melahirkan anak.
Kami juga menyeru penguatkuasaan dari agensi yang mempunyai bidang kuasa agar mengekang para doula atau bidan alternatif ini dari terus menganjurkan aktiviti mencari perantis, ceramah, konsultasi dan servis yang diragui malah membahayakan nyawa rakyat Malaysia.
Selaku sebahagian warga Malaysia yang prihatin, kami menyeru kaum ibu dan suami agar lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan informasi bidan alternatif. Berbincanglah dengan professional perubatan yang terlatih dan berdaftar dalam merancang proses bersalin.
Tujuan kami hanya mahu melindungi warga Malaysia dari anasir yang memudaratkan jiwa dan nyawa anggota masyarakat dan bangsa ini.
Dr Ahmed
Unit Media & Penerangan
GEMA Terengganu