16/01/2018
[ TEMPAT MENARIK DI PERLIS ]
MEMBURU ''AWAN KARPER DI BUKIT TOK DUN''
Bukit yang dimaksudkan dikenali sebagai Bukit Tok Dun. Tarikan yang tidak lagi asing kepada rakyat negeri Perlis. Bukit setinggi 325m ini terletak di dalam kawasan Felda Laka Selatan. Felda ini adalah ladang kelapa sawit yang mungkin akan dijadikan ladang getah kerana terlihat banyak anak-anak pokok getah mulai di tanam di sekitar bukit Tok Dun ini. Bukit ini berada tidak jauh dari MRSM Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. Sebenarnya bukit berkenaan bukannya baharu, tetapi ia seperti dijelmakan semula selepas pemilik tanah, Felda Global Venture (FGV) melakukan pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian.
Selepas ditarah dan ditanam semula FGV, bukit berkenaan menjadi tarikan anak muda bagi tujuan pendakian riadah, malahan turut menjadi aktiviti keluarga terutamanya pada hujung minggu. Bukit Tok Dun terletak di Pauh kira-kira 20km dari Kangar dan 5km dari pekan Changloon. Admin turut tidak melepaskan peluang mencuba untuk mendaki bukit ini. Memang ramai yang mendaki pada hujung minggu, mulai dari yang masih sekolah rendah hingga warga emas turut tidak melepaskan peluang mencuba mendaki bukit ini. Ramai dikalangan pendaki adalah mereka yang telah berkali-kali memanjat bukit ini dan tidak kurang juga yang baru pertama kali ingin mencuba aktiviti ini. Terdapat juga anak-anak muda Perlis telah mulai mendaki sejak lepas subuh untuk melihat matahari terbit dan ‘awan karpet’ yang dikatakan menyelubungi puncak bukit ini dimana kita akan berada diatas awan. Sesuatu yang menakjubkan.
Laluan menuju ke puncak bukit adalah laluan tanah merah sepanjang 2.5 km. Laluan ini tidak lah terlalu s**ar kerana terdapat motosikal yang mampu dibawa sehingga ke puncak kerana ia merupakan laluan pekerja ladang. Cuma terdapat dua tempat di laluan ini yang agak curam. Bagi yang ingin mendaki dinasihatkan agar tidak mendaki pada waktu hujan atau setelah hujan kerana tanah merah ini akan berselut dan licin yang mungkin akan membahayakan pendaki.
Pendakian bermula dengan melalui ladang kelapa sawit. Semakin menuju ke puncak, bilangan kelapa sawit semakin berkurang, yang ada cuma anak-anak pokok getah yang baru ditanam. Oleh kerana kawasan ini adalah milik Felda, pendaki diharapkan tidak merusakkan tanaman. Apabila admin mendekati puncak, maka terlihatlah keindahan panorama negeri Perlis yang mempersona di waktu pagi.
Keindahan bukit-bukit diselubungi awan memang sangat mengagumkan. Rasa hilang penat apabila menikmati pemandangan ini. Walau bagaimanapun admin tidak sempat melihat ‘awan karpet’ yang sering dicanang itu kerana matahari mulai meninggi. Mungkin belum rezeki admin. Memang seharusnya pendakian dimulai selepas subuh untuk menyaksikan keindahan alam tersebut.
Sumber : Ahmad Abu Hassan