22/12/2025
*MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOPERASI IKBN BACHOK BERHAD KALI KE-14*
IKTBN Bachok, 21 Disember 2025 – Koperasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok Berhad telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-14 pada 21 Disember 2025 (Ahad) bertempat di Sri Bayu Hall, Jabatan Teknologi Hospitaliti, IKTBN Bachok. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan anggota-anggota koperasi. Turut hadir bersama ialah Encik Nuzul Khairi bin Ab. Aziz, Pegawai Wilayah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bachok/Pasir Puteh; Encik Bahrum bin Badru, Penyelia Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bachok/Pasir Puteh; serta Encik Mohd Farid bin Ab. Rahim, Juru Audit Luar daripada Afrizan & Associates.
Mesyuarat dimulakan pada jam 10.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Koperasi IKBN Bachok Berhad ,Encik Zaidi bin Yusoff yang merakamkan penghargaan kepada semua anggota atas sokongan dan komitmen berterusan terhadap pembangunan koperasi. Seterusnya, mesyuarat diteruskan dengan ucapan oleh Encik Nuzul Khairi bin Ab. Aziz, Pegawai Wilayah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bachok/Pasir Puteh. Mesyuarat kemudiannya dirasmikan oleh Penaung Koperasi merangkap Pengarah IKTBN Bachok, iaitu Encik Mohd Soufi bin Mohd Ibrahim.
Sepanjang mesyuarat, beberapa agenda utama telah dibentangkan termasuk pengesahan minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu, pembentangan dan kelulusan Laporan Lembaga Koperasi, Laporan Kewangan Bagi Tahun Berakhir 2025 serta perbahasan usul-usul yang dikemukakan oleh anggota. Mesyuarat turut menyaksikan pembentangan prestasi pembangunan kedai koperasi dengan bantuan geran SKM, selaras dengan usaha berterusan koperasi dalam memperkukuh tadbir urus dan kesejahteraan anggota.
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-14 ini berakhir pada jam 12.00 tengahari dengan harapan agar Koperasi IKBN Bachok Berhad akan terus maju, berdaya saing serta memberi manfaat berterusan kepada semua anggotanya.
Disediakan oleh:
Anggota Lembaga Koperasi
Koperasi IKBN Bachok Berhad