16/05/2018
5.4 – Pelukis Penuhmasa
Tahun 1992 belum ada IT, belum ada fb, watsap, semua sebaran berita bergantung harap pada akhbar harian atau radio/tv. Jarang sekaili akhbar buat liputan keatas pelbagai pameran yang sering diadakan ketika itu, kecuali dengan kehadiran seorang menteri atau raja, dan kebiasaannya pada masa itu pameran catan sering bertemakan abstrak dan rasanya penulis akhbar sudah rasa muak cuba mentafsirkan segala macam lorekan dan pacuan warna terutama pada karya yang bertajuk ‘tanpa tajuk’ atau ‘tanpa judul’.
Hari itu 12 February 1992 aku keluar awal pagi untuk intai jika peristiwa pelancaran pameran solo pertamaku itu ada diselit dalam mana-mana akhbar. Aku sudah bersedia dihampakan kerana pada pelancaran itu tidak ada korum, banyak amat kerusi kosong. Dan aku lalu disebuah gerai dan beli senaskah Utusan Melayu; terkejut amat aku lihat sebuah karyaku hiasi muka depan akhbar itu. Jantun berdegup deras, aku ambil p**a Berita Harian; juga serupa – satu lukisanku penuhi muka depan jua. Dan aku beli semua akhbar, tiada satu pun yang tidak buat lapuran tentang pameran solo pertama aku itu. Pagi itu tanpa lagi menjamah sarapan sudah terasa kenyang, terus meluru ke DBKL. Ruang pameran agak sesak dengan warga kerja DBKL yg baru tiba untuk mulakan tugas harian mereka. Aku disambut dengan senyuman lebar sana sini, dan banyak yang menyapa. Kata pujian mengisi ruang legar itu menjadikan udara manis sekali.
Para petugas pameran yang direkrut sahabat-sahabatku dari Universiti itu mula masuki ruang pameran itu, tiap seorang membawa beberapa naskah surat khabar, semua kelihatan ceria bersenyum lebar bila terpandang akan diriku. Agak s**ar mahu diceterakan perasaanku tika itu, sesuatu perasaan yang belum pernah dirasai, terutama bila dikenangkan yang karya-karya aku itu telah diusir dianggap tidak artistic, tidak menepati citarasa semasa, oleh Balai Seni Lukis Negara.
....bersambung...