17/01/2022
Perlu di ingatkan khusus pada pasangan suami isteri di luar sana.
Ramai yang memandang remeh berkaitan isu lafaz cerai ini. Ramai yang beranggapan ianya tidak perlu dibuat pengesahan di Mahkamah Syariah apabila rujuk berlaku.
Ada juga yang beranggapan hukum syarak telah sabit, tidak perlulah pengesahan secara undang-undang kerana undang-undang sekadar hukum dunia.
Untuk pengetahuan semua, apabila berlaku lafaz cerai tanpa kebenaran mahkamah, ia perlu dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pengesahan dan ditentukan jumlah talak yang dilafazkan serta baki talak.
Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu pendaftaran perceraian di luar mahkamah.
Seksyen 57 (1): “Walau apa pun Seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada mahkamah.”
Malah, lafaz cerai yang dibuat tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan di bawah enakmen sama, di bawah Seksyen 125.
Seksyen 125 menyatakan, “Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Oleh itu, bagi pasangan yang sudah bercerai di luar dan kemudiannya rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di mahkamah.
Tujuannya agar perceraian dan rujuk itu dapat direkodkan dan dijelaskan kepada kedua-dua pihak baki talak yang masih tinggal.
Sekiranya perceraian yang dilafazkan suami secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), maka suami berkuasa merujuk isterinya selama tempoh idah.
Sekiranya perceraian yang diperintahkan bukan secara fasakh atau tebus talak, maka ia tergolong dalam perceraian yang tidak boleh dirujuk iaitu talak bain.
Mari kita ketahui p**a apa itu talak bain.
Talaq bain terbahagi kepada dua iaitu talak bain kubra dan talak bain sughra.
Talaq bain kubra adalah talak yang berlaku kepada pasangan sebanyak tiga kali iaitu suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya melainkan isteri menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah.
Jika ditakdirkan isteri berpisah atau suami keduanya meninggal dunia, maka barulah suami pertama berhak menikahi bekas isterinya itu.
Kategori kedua adalah talak bain sughra. Ia adalah talak yang diucapkan suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan baru walaupun isterinya dalam idah.
Sebahagian daripada talak bain sughra adalah:
1. Talak yang diputuskan oleh hakim.
2. Talak melalui khulu’.
3. Talak yang difasakhkan oleh hakim.
Seandainya suami sudah melafazkan talak kali kedua dan talak itu masih berbaki dua atau satu talak, maka ia masih dikira sebagai talak rajie dan pasangan boleh rujuk semula.
Jika suami enggan rujuk, status pernikahan terputus selepas tamatnya tempoh idah.
Sebab itu, pasangan suami isteri yang bercerai dengan atau tanpa kebenaran mahkamah perlu mengetahui jumlah talak dan jenis perceraian yang berlaku. Pasangan juga perlu memahami prosedur yang sah jika berlakunya perceraian dan rujuk.
Oleh itu, nasihat kepada pasangan yang dah berkahwin sekiranya lafaz cerai telah berlaku, rujuklah ke mahkamah dengan segera bagi tujuan pengesahan. Ini amat penting kerana sekiranya talaq memang telah jatuh di sisi Hukum Syarak, perhubungan suami isteri adalah dilarang, apatah lagi jika yang jatuh itu adalah talaq tiga atau talaq yang ketiga.
Jangan disebabkan kerana ingin menjaga maruah diri sendiri atau kerana ego seorang suami, pengesahan tersebut tidak mahu dibuat. Sekiranya berlaku persetubuhan selepas lafaz cerai dibuat dan ianya melibatkan lafaz cerai talak tiga, anak yang mungkin lahir selepas itu kerana statusnya boleh jadi anak luar nikah, dan suami isteri mungkin menanggung dosa zina.
Na’uzubillah.
Sahabat-sahabat bantu saya share dan like perkongsian ini agar ramai lagi yang mendapat manfaatnya.