05/08/2026
KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG SENIMAN�
SENIMAN MALAYSIA MERAKAMKAN UCAPAN TAKZIAH ATAS PEMERGIAN ALLAHYARHAM KAMAROOL HAJI YUSOFF @ CHE MAN
Dengan penuh rasa dukacita, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Kamarool Haji Yusoff @ Che Man yang telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 5.30 petang di Hospital Tanah Merah Kelantan akibat komplikasi jantung pada usia 68 tahun.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air. Sepanjang lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia lakonan, Allahyarham telah mencipta nama sebagai antara pelakon karakter terbaik negara dengan gaya lakonan yang bersahaja, penuh jiwa dan cukup sinonim dengan loghat Kelantan yang menjadi identiti beliau.
Allahyarham mula mencuri perhatian menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja (1986), sebelum terus mengukuhkan kedudukan dalam industri menerusi pelbagai filem seperti Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk, Cerita Hantu Malaysia, Mael Totey The Movie, Abu Si Raksasa serta drama bersiri Banyak Chanteq. Watak "Cik Man" dalam trilogi filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid menjadi antara watak paling ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia dan kekal terpahat dalam ingatan pencinta seni tanah air.
Walaupun Allahyarham bukanlah seorang yang mengejar pengiktirafan atau populariti, dedikasi, disiplin serta komitmen beliau terhadap dunia seni telah menjadikan beliau seorang seniman yang amat dihormati oleh rakan-rakan industri dan generasi pelapis. Legasi yang ditinggalkan melalui karya-karya beliau merupakan khazanah seni negara yang akan terus dikenang sepanjang zaman.
Bagi pihak seluruh kepimpinan tertinggi dan warga SENIMAN Malaysia, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memartabatkan industri seni kreatif Malaysia.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga.
Semoga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Al-Fatihah. Maklumat lanjut menyusul kemudian.
"Perginya seorang seniman, namun karya dan jasanya akan terus hidup dalam lipatan sejarah seni tanah air."
Haji Hafiz Nafiah
Setiausaha Agung Seniman�5 Ogos 2026 | Kuala Lumpur