12/02/2025
Polis Dungun terima 7 kes penipuan dalam masa 2 minggu babitkan kerugian lebih RM90,000
Dungun, 29 Januari – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun telah menerima tujuh laporan polis berkaitan kes penipuan dalam talian antara 12 Januari hingga 25 Januari 2025, dengan jumlah kerugian melebihi RM90,000.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura binti Abdul Kadir, dalam satu kenyataan mengesahkan kes-kes tersebut melibatkan pelbagai modus operandi seperti penipuan jual beli kenderaan, ‘love scam’, pinjaman tidak wujud, ‘phone scam’, tawaran kerja palsu, jual beli kasut, dan tender tempahan pakaian tidak wujud.
Antara kes yang dilaporkan adalah:
Penipuan Jual Beli Kenderaan – Mangsa membayar RM15,000 untuk membeli Perodua Alza melalui iklan di laman media sosial Facebook tetapi tidak menerima kenderaan tersebut.
Love Scam – Seorang wanita ditipu RM15,000 oleh kenalan dalam talian yang mendakwa memerlukan wang jaminan selepas ditahan pihak berkuasa.
Pinjaman Tidak Wujud – Mangsa kehilangan RM3,330 selepas tertarik dengan tawaran pinjaman wang palsu di Facebook.
Phone Scam – Seorang penyelia wanita rugi RM37,850 selepas menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai polis, mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
Tawaran Kerja Palsu – Mangsa kehilangan RM3,400 selepas menyertai kumpulan Telegram yang menawarkan pekerjaan dengan ganjaran tinggi tetapi perlu membayar “denda” untuk berhenti.
Penipuan Jual Beli Kasut – Seorang pekerja swasta rugi RM1,000 selepas membeli kasut Redwing 4470 secara dalam talian tetapi tidak menerimanya.
Tender Tempahan Pakaian Tidak Wujud – Seorang peniaga ditipu RM17,975 oleh individu menyamar sebagai pegawai bomba yang membuat tempahan palsu untuk pakaian ras
Kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga sepuluh tahun, sebatan, dan denda jika disabit kesalahan.
Maizura turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan taktik penipuan dalam talian dan membuat semakan nombor telefon serta akaun bank suspek di laman semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Mereka yang menjadi mangsa penipuan siber boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 atau memuat turun aplikasi Whoscall untuk mengenal pasti nombor telefon scammer.
Orang ramai juga disarankan untuk mengikuti laman Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM, Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan.
Foto: Polis Daerah Dungun