25/10/2025
Musuh sebenar parti kita adalah sikap iri hati dan dengki yang tak sudah. Belum lagi kapal berlayar, sudah ada yang menebuknya.
Sebab itu kadangkala kita perlu renungkan, kenapa kemenangan kita ditangguhkan. Walaupun rakyat kebanyakkan tidak begitu menggemari kerajaan semasa, mereka tetap tidak menjadikan kita sebagai alternatif. Puncanya keikhlasan perjuangan itu tidak dirasai oleh masyarakat.
Pertelingkahan yang berlaku dalam pimpinan tertinggi kini bukannya disebabkan kepentingan parti atau ahli kebanyakkan tetapi demi serakah individu tertentu yang tamakkan kuasa.
Jika pimpinan utama parti tidak boleh berdamai dan mengurus hal dalaman parti dengan baik, bolehkah kita sandarkan harapan menguruskan perbezaan di kalangan ahli? Boleh bergantung harap untuk membina hubungan kukuh dalam Perikatan Nasional?
Kita bersama-sama renungkan firman Allah:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ
[Surah Al-Anfāl: 46]
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."
Kemenangan kita akan semakin jauh, paling ngeri semakin jauh daripada pertolongan Allah. Jika sikap kita saling berbantah-bantah dan saling berkelahi serta tidak mahu bertolak ansur begini berterusan, PRU-16 ini kita akan dikebumikan oleh rakyat kebanyakkan bahkah lebih dahsyat ahli sendiri akan semakin hilang kepercayaan kepada parti.
Kita bukan parti yang berkuasa, kecil dan lemah jika dibandingkan parti lain yang lebih lama dan ramai ahli di peringkat akar umbi. Sedarlah, kita sebenarnya sedang menggali kubur sendiri.