28/07/2026
Penyerahan Sumbangan Program Ihsan Food Bank (i-FB) KPDN Negeri Terengganu Kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Tahun 2026
Pada 28 Julai 2026 (Selasa), jam 10.00 pagi, telah berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan Program Ihsan Food Bank (i-FB) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Tahun 2026 di Dewan Bangunan Canselori, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah KPDN Negeri Terengganu, Encik Mohd Mufsi bin Lat, dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Dato' Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, bersama-sama wakil daripada Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Kolej Bestari serta pihak media.
Program ini bertujuan menyampaikan sumbangan Program Ihsan Food Bank (i-FB) kepada institusi pengajian tinggi terpilih bagi membantu golongan yang memerlukan dalam kalangan mahasiswa, di samping menyokong usaha kerajaan mengurangkan pembaziran makanan melalui pengagihan lebihan makanan yang masih selamat untuk dimanfaatkan.
Selain UniSZA, sumbangan turut disampaikan kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kolej Bestari (UKB).
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 40 orang peserta ini telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara KPDN dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan agenda kebajikan mahasiswa serta kelestarian komuniti.