14/10/2025
SEKADAR CATATAN KECIL
TAHNIAH DAN SYABAS LANGKAWI!
Sekali lagi, nama Pulau Langkawi harum di persada antarabangsa apabila diiktiraf sebagai Pulau Kedua Terbaik dalam senarai “Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025” oleh pembaca portal pelancongan antarabangsa berprestij, Condé Nast Traveler.
Dengan markah 92.99, Langkawi berjaya menewaskan beberapa destinasi tersohor dunia termasuk Bali di Indonesia (tempat ke-6) dan Phuket di Thailand (tempat ke-9).
Hanya Pulau Phú Quốc, Vietnam berada di hadapan dengan markah 95.51, manakala Koh Samui, Thailand (92.7) dan Boracay, Filipina (90.54) melengkapkan lima tangga teratas.
Menyusul selepas Bali yang memperoleh 89.84, ialah Pulau Siargao, Filipina (85.49) di tempat ketujuh, Kepulauan Andaman, India (85.33) di tempat kelapan, dan selepas itu barulah Phuket (84.62) di kedudukan kesembilan dan Kepulauan Phi Phi Phi juga di Thailand di tempat kesepuluh dengan markah 83.27.
Kejayaan menduduki tempat kedua dalam senarai itu sesungguhnya bukan sekadar angka, tetapi pengiktirafan kepada kerja keras, semangat, dan dedikasi seluruh komuniti Langkawi — daripada para penggiat industri pelancongan, pengusaha hotel, pemandu pelancong, peniaga kecil, nelayan, hinggalah agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak swasta serta NGO yang tidak pernah jemu berusaha memastikan Langkawi terus menjadi destinasi idaman dunia.
Syabas kepada semua yang telah menjadikan Langkawi bukan sekadar sebuah pulau, tetapi satu jenama pelancongan bertaraf antarabangsa yang membanggakan Negeri Kedah dan Malaysia seluruhnya.
Semoga pengiktirafan antara pulau terbaik di Asia ini menjadi satu lagi isyarat awal bahawa Langkawi akan terus bersinar sebagai permata pelancongan yang tiada bandingan, mencipta lebih banyak kejayaan dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri Jelapang Padi ini. Insya-Allah.
DINAMIK | SEPAKAT | SEJIWA
Dato' Haji Mohd Salleh Saidin
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan
Negeri Kedah Darul Aman.