20/05/2019
TAZKIRAH JIWA
CABARAN PEMERINTAHAN BANI ABBASIYAH : KHALIFAH AL-MU’TASIM (218-227H/833-842M)
TOKOH TURKI : AFSYAIN HAIDAR BIN KAUS (Siri_8)
Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini, khalifah Al-Mu’tasim telah melantik para pegawai dan tenteranya yang terdiri dari keturunan Turki. Terdapat seorang tokoh Turki yang terkenal semasa pemerintahan khalifah Al-Mu’tasim iaitu Afsyain atau namanya yang sebenar adalah Haidar bin Kaus.
Dia berasal dari Asyurasana (Turkistan). Semasa Al-Ma’mun mengurus beberapa wilayah lagi terserlah keberanian Afsyain. Lalu dia telah diberi tugas untuk mengurus wilayah-wilayah yang bergolak pada zaman itu. Antara wilayah yang berjaya dipatahkan kekacauan olehnya adalah Riqqah dan Mesir.
Manakala ketika Al-Ma’mun menjadi khalifah p**a, Afsyain telah diberikan tanggungjawab besar untuk menumpaskan pemberontakan Babek Al-Khormadin yang sukar ditewaskan. Dia berjaya menumpaskan musuh ini pada zaman pemerintahan khalifah Al-Mu’tasim. Khalifah Al-Mu’tasim telah memberikan kemuliaan kepada Afsyain dengan pelbagai harta dan kekayaan. Dia juga telah diberikan mandat untuk mengawasi wilayah Sind. Afsyain juga turut terlibat dalam peperangan Rom dan berjaya menumpaskan tentera Rom. Kepahlawanannya sangat hebat dan digeruni musuh. Sumbangan besar Afsyain dalam pemerintahan Bani Abbasiyah amat besar.
Afsyain mempunyai cita-cita untuk menjadi raja di Asyurasana dengan kekuasan sendiri. Namun cita-cita tidak menjadi kenyataan apabila beberapa strateginya telah diketahui oleh khalifah Al-Mu’tasim. Pada satu hari khalifah Al-Mu’tasim telah memanggil Afsyain datang menghadapnya di istana khalifah. Apabila sahaja dia tiba khalifah telah mengarahkan dia ditahan dan dilakukan soal siasat. Menurut catatan para ahli sirah, Afsyain ditangkap kerana telah murtad dan ingin memerintah Asyurasana sendirian.
Akhirnya Afsyain didapati bersalah dan dihukum penjara. Dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika meringkuk di dalam penjara.
copy paste
Ustaz Sabir
20hb. Mei 2019
15 Ramadan 1440 H
Rujukan utama Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Bani Abbasiyah, Pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah dan lain-lain.