20/03/2026
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita sekali lagi dipertemukan dengan Syawal yang mulia setelah melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta sarat dengan pengisian ibadah dan penghayatan nilai-nilai murni. Ramadan yang lalu telah mendidik kita untuk terus memperkukuhkan keimanan, memperbanyakkan amal kebajikan serta memupuk sifat kesabaran, keikhlasan dan keinsafan dalam diri.
Bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang penuh makna ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Negeri Melaka, khususnya kepada penjawat awam yang terus komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan serta kemajuan negeri ini.
Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi merupakan detik untuk kita memperkukuhkan silaturahim, menyemai nilai perpaduan serta memperbaharui semangat kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar rakyat Melaka. Marilah kita menjadikan Syawal ini sebagai peluang untuk saling memaafkan, mengeratkan hubungan dan terus menyumbang kepada pembangunan negeri dengan penuh dedikasi dan integriti.
Akhir kata, semoga Aidilfitri pada tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan keberkatan kepada kita semua.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Ikhlas daripada
YB Datuk Wira Azhar bin Arshad
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka