22/07/2025
*MENYOROT SEJARAH PERJALANAN AKTIVITI PERKHEMAHAN DI TANAHAIR*
Aktiviti perkhemahan merupakan satu pengalaman pengembaraan dalam menghayati hubungan yang harmoni dan simbiotik di antara insan dan insan dan di antara insan dengan alam. Bagi seorang yang beragama, dia tidak melupai hubungannya dengan Tuhan, Pencipta sekalian alam.
Pengalaman pengembaraan ini melibatkan tidor di dalam khemah di dalam suasana alam semulajadi.
Di tanahair, aktiviti pengembaraan luar dan perkhemahan ini mula diperkenalkan pada tahun 1990an. Ada dua perkara yang menjadi pencetus iaitu kembalinya penuntut luar negara khususnya daripada Amerika Syarikat yang aktif dalam aktiviti perkhemahan dan luar (outdoor pusuits) semasa menuntut di sana.
Saya merupakan antara orangnya yang aktif dalam aktiviti mengembara, memancing, berkhemah dan berdinghi di air deras (white-water rafting) ketika menuntut di Amerika Syarikat 1981-1985.
Apabila pulang ke tanahair dan memulakan karier sebagai pensyarah pada tahun 1986, saya telah membawa 12 orang pelajar ITM dan dua orang pensyarah ke Taman Negara untuk aktiviti perkhemahan selama 5 hari 4 malam.
Apabila saya memperkenalkan dan menjalankan program Karisma Discovery Camp pada tahun 1994 di Jungle Lodge, Gombak maka saya turut terlibat dalam Seminar Summer Camp anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia. Tahun itu juga tertubuhnya Malaysian Summer Camp Association. Seminar itu turut menjemput pakar daripada American Camping Association (ACA) untuk berkongsi idea dan pengalaman.
Perlu diingat, negara Amerika Syarikat ketika itu sangat terdahulu dalam memperkenalkan aktiviti kembara luar secara ilmiah, bermakna dan profesional.
Malah bagi setiap aktiviti luar memang ada majalah komersial contohnya camping, fishing, mountain-climbing, rock climbing, white-water rafting, horse-riding, hunting, parachuting malah apa sahaja bidang kembara luar.
Ketika menerajui syarikat pertama saya, Maldo-kaj Communications Sdn Bhd pada tahun 1992 dan memperkenalkan beberapa program "Summer Camp" contohnya "Leadership Camp" dan lain-lain maka saya juga adalah Pengerusi Bersama menganjurkan 1st Asian Sports Tourism Conference yang merupakan konferens tentang sports tourism yang julung kali dianjurkan di dunia. Tahun berikutnya konferens Sports Tourism dianjurkan di New York, Amerika Syarikat.
Sejak itu saya mula menghasilkan dan memperkenalkan konsep peogram "outdoor lifestyle." Malah program syarikat saya "outdoor adventure-based learning" dengan modul "Peak Performance Team Building" mendapat perhatian dan sambutan untuk dimanfaatkan oleh sektor korporat.
Biasanya dalam program tiga hari dua malam, satu malam akan dikhususkan agar peserta dapat berkhemah di hutan belantara. Antara tempat-tempat yang saya jelajahi adalah hutan Sungai Pisang Batu 12 Gombak, hutan Janda Baik, Taman Negara, Empangan Talang, Gunung Ledang dan Pulau Tioman.
Maka pada hujung tahun 1990an saya dijemput untuk menjadi perunding dan pensyarah sambilan dalam program outdoor di UiTM dan di Universiti Malaya di bawah fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM dan Pusat Sains Sukan di Universiti Malaya. Antara matakursus yang diperkenalkan adalah:
1) Outdoor Adventure Pursuit & Recreation Management,
2) Sports Tourism
3) Oudoor Education
Perlu diingat sejak saya berjaya menganjurkan konferens Sports Tourism, saya juga telah menerbitkan Malaysia Sports & Recreation Tourism Guide 1998, menubuhkan Malaysia Sports Tourism Council, dilantik menjadi editor kepada Sports Tourism Journal yang diterbitkan di Toronto, Canada dan menganjurkan Adventure Community Carnival & Exhibition, saya dikira sebagai seorang yang aktif dalam bidang ini dan menerima beberapa anugerah antarabangsa, sehinggalah syarikat one-stop adventure sports tourism saya terkubur dan datangnya pandemik di mana aktiviti tersebut terbantut.
Selepas pandemik Covid-19, berlaku satu ledakan dan cetusan minat serta kecenderungan di kalangan masyarakat untuk bergiat secara aktif di dalam aktiviti perkhemahan.
Namun pengisian yang bermakna tentang hubungan harmoni dan simbiotik itu yang masih belum difahami dan dihayati oleh masyarakat kita.
Prinsip inilah yang saya usaha untuk terapkan kepada semua lapisan masyarakat dalam Alambumi Adventure Camp mulai bulan Ogos 2025.
Pada tahun 2000, saya adalah pengasas Adventure Community (Komuniti Kembara).
*Ahmad Kamil Mohamed*