09/10/2026
KITA INGAT KITA SEDANG MENYIHATKAN BADAN. RUPANYA KITA SEDANG MENYEDUT LEBIH BANYAK PENCEMARAN.
Pagi-pagi pakai kasut sukan. Keluar berjoging walaupun keadaan berjerebu.
“Alah, jerebu sikit je. Lagi bagus berpeluh daripada duduk rumah.”
Tetapi tahukah anda apa yang berlaku kepada paru-paru ketika kita berlari?
Apabila bersenam, kadar pernafasan (respiratory rate) meningkat. Nafas juga menjadi lebih dalam kerana badan memerlukan lebih banyak oksigen.
Masalahnya, ketika jerebu, kita bukan hanya menyedut oksigen. Kita turut menyedut udara yang tercemar.
Semakin laju dan dalam kita bernafas, semakin banyak udara tercemar masuk ke paru-paru.
Zarah halus PM2.5 boleh sampai jauh ke dalam paru-paru sehingga ke alveoli, mencetuskan keradangan dan memburukkan masalah pernafasan.
Yang membimbangkan, kita mungkin masih mampu berlari 5 atau 10 kilometer tanpa rasa apa-apa.
Tetapi tidak sesak nafas bukan bermakna paru-paru kita tidak terdedah kepada pencemaran.
Apabila IPU melebihi 100 ( Tidak Sihat) aktiviti sukan luar lebih baik ditangguhkan.
Kalau kita boleh hentikan perlawanan kerana hujan lebat dan petir, kenapa begitu sukar menangguhkan aktiviti luar ketika udara tidak sihat?
Sukan boleh tunggu. Kesihatan jangan dipertaruhkan.
Public Health Malaysia