05/08/2026
Taklimat Integriti & Majlis Ikrar Bebas Rasuah anjuran Unit Integriti dan Governans Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan kerjasama Cas Ligas Sdn. Bhd. telah berlangsung semalam di Dewan Besar Tingkat 3, Menara PMINT. Program ini bertujuan memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang telus dalam kalangan warga kerja Kumpulan PMINT.
Majlis turut dihadiri Tuan Haji Abdul Hadi Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pengurus Besar Paya Bunga Hotel Encik Zulkifly Mohd. Yusof, serta kontraktor, pembekal dan perunding anak syarikat PMINT.
Taklimat telah disampaikan oleh PPJ Haji Zainal Ayop, Ketua Pencegahan Negeri SPRM Terengganu, yang berkongsi mengenai bentuk-bentuk rasuah yang sering tidak disedari dalam aspek perniagaan. Program diteruskan dengan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen bersama untuk memperkasa integriti dan tadbir urus yang telus, memastikan setiap individu melaksanakan amanah tanpa penyalahgunaan kuasa, serta menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah. Majlis kemudian disusuli dengan sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen seluruh warga kerja terhadap pembudayaan integriti dalam organisasi.